Friday, June 29, 2012

Mutiara Renungan



Pada suatu hari Hassan Al-Basri r.a ditanya,

“Ya Hassan, hari apakah yang bagimu hari raya?”

Hassan Al-Basri menjawab,"Setiap hari pada hari itu aku tidak akan melakukan maksiat kpd Allah swt”.

Mereka brtanya lagi,"Apakah rahsia zuhudmu didunia ini, ya abal Hassan?"

Hassan Al-Basri mnjawab,
"Aku tahu rezekiku tidak akan diambil oleh orang lain kerana itulah hatiku tenang. Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan oleh orang lain, kerana itulah aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu ALLAH Taala selalu mengamatiku, kerana itulah aku rasa malu bila DIA melihatku sedang dalam keadaan maksiat. Dan aku tahu kematian itu sudah memerhatikanku, kerana itulah aku selalu menambahkan bekalan untuk hari pertemuanku dengan ALLAH Azza Wa Jalla.

WaLLAHu'alam :-)

Salam Jum'ah Al Mubarak!

Thursday, June 28, 2012

YANG DARINYA KITA MENGAMBIL IKTIBAR


Peringatan Sayyidina Umar bin al-Khattab RA kepada panglima tentera Islam Sa`ad ibn Waqqas RA dalam menghadapi tentera Farsi sebelum meletusnya Perang al-Qadisiyyah:

“Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada ALLAH swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu sendiri , lebih dari maksiat musuh -musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka. Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada ALLAH swt. Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .”

WaLLAHu'alam.

Friday, June 15, 2012

ISLAM ITU INDAH...

Anugerah dunia
sekelumit cuma
sanjungan dunia sebenarnya
merelai diri ditelanjangi

Sampai kapan ingin berlari
di padang gersang
yang tidak punya apa-apa
sedang hidup ada nokhtahnya
yang masih rahsia
buat kita tercari-cari

Di sana
terbentang luas
menanti jejak diri
seorang muslimah
yang tunduk
syukur
sujud
hanya padaNYA

Duhai
betapa diri pernah terpesona
pada percikan dunia
yang fana

Bersyukur pada MU
ALLAH yang agung
petunjuk rahmat
buat insan kerdil seperti ku
berkat doa bonda sehebat
halilintar membelah bumi
setajam mata pedang
menghunus kalbu
dengan kehendak MU 
Aku sebegini...

Lalu...
tersadar daku dari mimpi ngeri
yang tidak ingin ku hayati lagi
kisahnya

Muslimah
ayuh kita bersama
lengkapi diri berhijab
kerna tuntutan ILAHI telah lama menggamit
sedang kita masih alpa
meminggir tuntutan itu

Biar cantik bersulam kebenaran
biar indah bertatah keinsafan
kerna pasti
Islam Itu Indah 

(Oki Setiana Dewi)

Wednesday, June 13, 2012

MODAL YANG SEMAKIN BERKURANG - 26 TAHUN YANG BERLALU….


Dah 26 tahun rupanya saya di bumi ini dengan biayaan penuh dari ALLAH. ALLAH telah memberi saya modal nyawa sebanyak 26 tahun, berapakah baki modal yang saya ada…? Berapa kuantiti yang tinggal, saya tidak tahu, yang saya tahu, modal saya makin berkurang… Dengan modal yang telah diterima, bila dikira-kira balik, saya terfikir, dalam perdagangan kita dengan ALLAH, dengan pulangan yang kita dapat yang di pindahkan terus ke akaun akhirat, agak-agak cukup tak simpanan kita untuk kita survive di kehidupan di akhirat? Tapi di sini, saya bukanlah bermaksud mengatakan bahawa kita ke syurga dengan dengan amalan kita semata, tidak.. sudah tentu tidak, tapi semuanya adalah kerana rahmat ALLAH… Namun kita harus ingat, di sana ada doa, usaha dan tawakkal yang perlu kita lakukan untuk menjemput rahmat ALLAH kepada kita…

Saya teringat kata-kata naqibah saya, Ustazah Nur Hafizah Musa, atau lebih mesra dipanggil Kak Chik, beberapa minggu lepas, yang menyentuh tentang modal nyawa dalam kehidupan. Dalam hidup, setiap orang diberi modal nyawa untuk diuruskan. Setiap dari kita tidak tahu berapa jumlah modal yang diterima. Dan beruntunglah orang yang benar-benar serius dalam perdagangannya dengan ALLAH, walaupun dengan hanya modal yang ‘sedikit’. Kata beliau lagi, kita hidup di dunia ini diibaratkan seperti di alam transit. Ibarat kata, kita dalam perjalanan menunaikan haji ke Mekah Mukarramah, dan dalam perjalanan itu, flight kita berhenti sekejap, di mana-mana stesen transit, dan ketika itu, bila mahu turun, apa yang kita bawa? Mungkin kita hanya ambil, handbag, dan sedikit keperluan penting yang kita perlukan ketika itu, beg pakaian yang besar-besar, kita tinggalkan, kerana kita nak singgah sekejap sahaja. Dan setelah beberapa ketika menunggu, bayangkan apa perasaan kita apabila mendengar pengumuman yang meminta kita bersedia untuk meneruskan perjalanan ke destinasi kita, sudah tentu ketika itu kita dapat melihat wajah teman-teman kita berseri gembira dan dalam hati kita, tidak dapat dibayangkan betapa seronoknya kerana kita akan meneruskan perjalanan untuk ke destinasi sebenar. 

Begitulah juga kita di dunia. Tetapi cuba kita bayangkan bagaimanakah keseronokan kita untuk berpindah dari alam transit (dunia) untuk ke alam tujuan (akhirat) sekiranya kita tidak amanah dengan modal nyawa yang telah diberikan oleh ALLAH kepada kita. Jika kita ingat, dan jika kita perasan , ALLAH telah mengingatkan kita tentang masa atau dengan kata lain, umur. Di dalam al Qur’an banyak ayat yang menunjukkan ALLAH bersumpah dengan masa, antaranya, wal Fajr (dan demi waktu fajar), wal-‘Asr (dan demi waktu Asar), wad-Dhuha (dan demi waktu Dhuha), wallail (demi waktu malam). Di situ ALLAH sebenarnya mengingatkan kita tentang pentingnya masa.  Betapa nikmat umur yang ALLAH beri terlalu besar. Masa dan umur merupakan salah satu aspek yang akan dianalisa di hari kiamat, seperti mana sabda  Nabi Muhammad SollaLLAH ‘alihi wasallam di dalam hadis baginda yang bermaksud;

Tidak akan melangkah kaki anak Adam di hari kiamat sehingga ditanya 5 hal disisi ALLAH: tentang umurnya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa digunakan, tentang hartanya dari mana  mencarinya, dan ke mana menginfakkannya, dan apa yang diamalkan dari ilmunya.” (HR. At-Tirmidzi)

Dan cuba kita renungkan, berapa banyak modal yang telah kita bazirkan dalam perdagangan ini? Cubalah kita audit diri kita, adakah kita compliance dengan standard yang ALLAH tentukan untuk kita? Berapa banyakkah waste atau dosa yang telah kita hasilkan sepanjang perdagangan kita dengan ALLAH? Semua itu hendaklah diambil kira dalam soal kita berjual beli, begitulah juga kita dengan ALLAH. Teringat kata-kata pensyarah saya semasa perbincangan di dalam kelas Hazardous Waste Control yang lepas, “It is impossible for us to produce zero waste, but it is possible for us to minimize our waste”. Begitulah dengan dosa, adalah mustahil bagi kita untuk terselamat dari melakukan dosa kerana kita bukanlah ma’sum, tetapi, kita boleh berusaha untuk menghindarkan diri dari melakukan dosa. Namun, di sana mesti kita ingat dan yakin, ALLAH sentiasa bagi nikmat keampunan untuk hamba-hambaNYA yang bertaubat, tanda DIA maha Pemurah.

Kalau kita nak tahu sama ada kita benar-benar serius dalam perdagangan kita sebagai hamba, lihatlah kehidupan kita. Seriuskah kita dalam kehidupan? Atau kita sekadar hidup main-main sahaja?  Kalau benar kita mahu serius dalam kehidupan, cubalah restructure hidup kita. Susnlah balik cara hidup kita dan hiduplah dengan bersungguh-sungguh. Cuba kita analisa,  dalam kehidupan kita hari-hari, benda apa yang kita tengok, benda apa yang kita dengar, dan benda apa yang kita baca. Semua itu menggambarkan bagaimana tahap komitmen kita sebagai hamba ALLAH bahkan mempengaruhi cara hidup kita keseluruhannya.

Orang yang benar-benar serius dalam kehidupan tidak akan melakukan apa-apa pun pada waktu pagi, kecuali setelah membaca beberapa potong ayat Al-Qur’an. Cubalah jadikan al-Qur’an sebagai keperluan. Ada di antara kita hanya menjadikan ayat Al-Qur’an sebagai perhiasan, digantung di dalam rumah, dijadikan sebagai alat mengusir makhluk jahat. Tidak mengapa mempamerkan ayat-ayat Al-Qur’an di dalam rumah kita, sekurang-kurangnya menunjukkan kita adalah Muslim.

Namun alangkah baik, jika kita menjadikan Al-Qur’an sebagai keperluan dalam kehidupan kita. Amalkanlah membaca Al-Qur’an, walaupun hanya 1 minit. Cubalah baca, walau hanya sepotong ayat, dan renungkan ayat yang kita baca, kemudian, cuba amalkan mengikut kemampuan kita. InsyaALLAH mudah-mudahan kita dapat berubah menjadi lebih baik dan dapat mengubah sistem hidup ke arah yang lebih sempurna.

Jom! Mari kita amalkan bersama-sama. Saya dahulukan dengan ucapan TAHNIAH! Kepada diri kita semua atas usaha yang sedang dan akan terus kita lakukan, InsyaALLAH. Ingat! Pertolongan ALLAH sentiasa mengiringi usaha kita. Fainna ma’al ‘usri yusro.

… Semua ke syurga…
Kecuali dia
Kubimbangi dialah diriku…
Na’uzubiLLAH…
Ya ALLAH! ampunan dan rahmatMU amat kudamba…
"ALLAHumma haasibna hisaaban yasiiro”
Ameen…