Wednesday, February 20, 2013

Tentang IKHLAS

Ikhlas bukanlah perkara pertama yang perlu ada. Ikhlas perlu datang selepas faham. Sekiranya kita tidak memahami, keikhlasan kita tidak ada maknanya.

Tidak faham mencuri itu salah, maka kita mencuri dengan ikhlas, nyata tetap tidak akan kita mendapat apa-apa kebaikan daripadanya.

Namun, setelah kita memahami duduk letak sesuatu perkara itu di dalam Islam, maka kita perlulah mencari keikhlasan kita untuk melaksanakannya. Kerana tanpa keikhlasan, amalan kita tidak akan mampu memberikan makna. Keikhlasan juga adalah apa yang menghubungkan dua jiwa. Kerana akhirnya, Allah jualah yang akan menyambungkan jiwa-jiwa manusia kepada kita. Keikhlasan adalah apa yang akan menjadi jambatan antara hati kita dan mereka.

Ikhlas juga adalah bahan bakar buat kita meneruskan kerja-kerja kebaikan. Kerana kita hanya akan ikhlas apabila kita mengharapkan balasan Allah semata-mata. Bila kita mengharapkan balasan Allah semata-mata, semestinya kita tidak akan mudah berputus asa. Kerana kita yakin, segala duga, segala duka, segala apa yang datang menimpa walau sesusah mana pun ia, adalah datang daripadaNya juga. Itulah ujianNya, untuk melihat keimanan kita.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Ikhlas akan membuatkan kita terus berjalan. Kerana itulah ikhlas.
Marilah sama-sama kita mencari ikhlas, dan berusaha untuk menjaga keikhlasan kita.
Daripada hati, akan sampai ke hati juga.

Sumber:  http://langitilahi.com/11543

MUHASABAH.

Manusia ini kalau tidak punya apa-apa, tidak berhargalah ia. Maka sepatutnya, pada usia masih muda ini, kita sibukkan diri dengan mencari ‘apa-apa’ untuk dimasukkan ke dalam diri kita agar kita menjadi berharga. Mahal. Semestinya ‘apa-apa’ itu adalah perkara-perkara yang bermanfaat dan berharga juga. Kalau diisi dengan sampah, maka sampahlah kita.

  • Berapa banyak buku telah kita telaah?
  • Berapa banyak program pemantapan minda dan peribadi yang telah kita hadiri?
  • Dalam lautan ilmu itu pula, setelah mendapat kefahaman akannya, berapa banyak pula yang kita implemenkan dalam kehidupan kita?
  • Apakah kita ini cakna isu semasa?
  • Pandaikah kita menguruskan wang?
  • Bijakkah kita dalam meneruskan survival hidup?
  • Sudahkah kita memulakan perjalanan untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak nanti?
  • Sudakah kita memulakan usaha membina diri agar mampu menjadi suami dan isteri yang baik kepada pasangan kita nanti?
Persoalan-persoalan ini sepatutnya bermain di dalam minda kita. Menjadikan diri kita mahal. Bukan sibuk dengan – Apakah dia jodoh aku? Apakah dia jodoh aku? Inikah petandanya dia jodoh aku? Apakah mimpi aku semalam merupakan satu petunjuk? Apakah dia bakal imamku? Apakah dia bakal makmumku? Macam mana hendak melamar? Macam mana nak hadapi lamaran seseorang? –  terlebih dahulu.
Kita di dalam pengajian akademik kita, kita punya tahapan. Maka begitulah kita dalam proses percintaan. Dalam hendak mendirikan rumahtangga. Kita bukan terus skip kepada “Bagaimana hendak melamar dan menerima lamaran.”
Ini tidak. Semenjak sekolah menengah sudah mula sibuk dengan cinta. Sibuk dengan frasa bakal imamku, bakal makmumku. Kala berusia mahasiswa yang sepatutnya kita teguk pengalaman untuk menjadi pemimpin dan membina ummah, mempersiapkan diri untuk menjadi yang bermakna buat masyarakat, kita sibuk dengan asmara dan fantasi rumahtangga. Persediaan entah ke mana. Kemudian kata hendak berumahtangga, hendak membawa pasangan ke syurga? Bagaimana hendak ke syurga kalau diri itu tidak punya apa-apa persediaan ke arahnya?
Muhasabah.

Sumber: 
http://langitilahi.com/11493