
Kerap diungkapkan, cinta itu buta?Apakah  benar cinta itu buta? Apakah cinta orang beriman juga buta? Kalau buta  yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat mana yang hak, yang mana  batil,  tentulah cinta orang yang beriman tidak buta. 
Tidak! Cinta yang suci tidak buta.   Orang beriman tetap celik  walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka  masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang  mana baik, yang mana  buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.
 Namun sekiranya buta yang dimaksudkan  tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang  dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang  beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada  Ilahi.
 Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah  berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu,  aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!” Mus’ab bin Umair  pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa  itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa  oleh Nabi Muhammad.”
 Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi  bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah  iman. Cinta itu telah dikotori oleh  kehendak nafsu dan bujukan syaitan.  Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan  diikuti.  Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup  mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang  benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau  “siapa” yang dicintainya.
 Kalau sudah cinta, kita  jadi “buta”  terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan  hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa  yang kita  cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik,  maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.
 Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah  kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada  kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun  ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan,  hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang  mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu  sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.
 
 Justeru, cinta orang mukmin itu “buta”  kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin  rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua  itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan  dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip “kami  dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al  Quran) yang datang daripada Allah.
 Apabila berdepan dengan cinta Allah,  segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan  kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang  membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh  badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga  telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak  berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
 Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib  saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu  Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa  saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha  Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah.  Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab  yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan  tidak beriman…
 Betapa sedihnya hati Rasulullah saw   tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu  Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya  yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang  baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa?  Kerana  Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya  Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata  tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!
 Begitulah jua jalur cinta yang luar  biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan  Nabi Muhammad saw.  Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata “tidak” ketika  teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka.  Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan  keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.
 Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim  as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah  berhala,  dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi  cintanya kepada  Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi  Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana  cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?
 Muhasabah kembali cinta antara  suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita…. Apakah  pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali  kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan  dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur  kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang  sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.
 Kekadang ada isteri yang sudah semakin  “toleransi” dalam hukum penutupan aurat.  Malangnya, sisuami biarkankan  sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang,  saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya tangannya sudah  terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur  dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan oleh  sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…
 Kekadang solat nya pasangan kita sudah  mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu “ringkas” pula… Itu pun   masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke  masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung  reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari  semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si  isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka  suami jadi “jeran” dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa?  Kerana sayang…
 Si suami pula kekadang sudah semakin  merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah,  melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa  “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula  malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak  menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.
 Itu perubahan yang membimbangkan, detik   hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut  dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya  keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi.  Ah, semuanya… demi cinta!
 Seakan telah dilupakan dahulu kita  bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri  atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang  diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum  tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima,  ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah  kita kerana Allah.
 Itulah pangkal perkahwinan setiap  pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada  kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah  berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau  isteri kita.
 Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan  anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila  didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka  melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya  Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya)  apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.
 Jika kita undur selangkah ke belakang  dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke  belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang  kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam  menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat.  Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula  meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak  akan terleka dalam mencintainya!
 Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya  “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan  tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan  anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya  mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar  panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati  anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak  pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata,  “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih  muda!”
 Susah benarkah untuk melihat anak-anak,  isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang  sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi  mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?
 Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu  kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah,  insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela  dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga  hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka  itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
 Marah biar kerana Allah. Justeru  kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita.  Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan  tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata.  Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itru akan kekal sampai  bila-bila…
Renungkan.... Adakah cinta kita sudah mampu berkata tidak?