Saturday, July 16, 2011

Warkah Seorang Adik...


Assalamu’alaikum, wbt… salam Sya’ban saya ucapkan kepada para pembaca yang sangat dicintai ALLAH swt. Apa khabar semua? Apa khabar hati kita? Didoakan semoga ia sentiasa bahagia dengan sinaran iman. Mari kita perbanyakkan taubat dan memohon keampunan untuk diri, keluarga dan ummah dalam mengharungi zaman fitnah ini…

Kita seringkali diuji dengan apa yang kita tulis, apa yang kita perkatakan, dan apa yang kita nasihatkan pada orang lain. Aku terkadang menjadi takut untuk menulis… bimbang tika diuji, aku tidak mampu melaluinya dengan cara yang DIA mahu… Keadaan ini jangan sekali-kali menjadi penghalang kepada kita untuk terus menulis. Ia seharusnya menjadi penguat kepada kita untuk terus mengukuhkan pendirian iman di jiwa kita, menguatkan rasa tawakal kita kepada ALLAH.

Sungguh, diriku masih terlalu jauh dari sempurna… aku tahu itu… kalau mahu tunggu diri sendiri sempurna baru mahu menulis, sudah tentulah sampai kiamat pun kita tidak mampu… kan? Kalaupun kita sendiri lambat mendapat manfaat dari apa yang kita tuliskan, berdoalah, biar ALLAH izinkan kita mendapat tempias pahala daripada orang-orang yang memanfaatkan nasihat kita, buat penghapus dosa-dosa yang melapisi hijab hati kita agar mudah cahayaNYA meresapi hati kita, biar hati kita lunak denganNYA…

Aku di sini mahu berkongsi sebuah kisah dari seorang sahabat yang agak dekat dengan diriku, yang mengizinkan dirinya dikenal sebagai Sufi… Kisahnya, maaf… ini bukan hanya kisah dia, tapi mungkin juga kisah aku, kisah anda dan kisah kita semua… Kisah ibu, kisah ayah, dan kisah anak… kisah keluarga… kisah cinta, kasih sayang, rindu jua pengorbanan…

………………………………………………………………………

Pagi itu, ketika Sufi menyemak dokumen yang perlu diperbaiki, tiba-tiba dia perasan skrin komputernya menunjukkan, “Facebook (1)”, Sufi membuka laman Facebook, dan mendapati 1 Message diterima daripada adiknya, Amna… Dia tergamam melihat mesej yang dikirim oleh adiknya… tidak pernah adiknya menitip pesan sepanjang itu… semakin dibaca dia rasa semakin sendu… dalam sendu, dia mengesat air mata sambil terus menyoroti tulisan adiknya…

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Menemui kekanda yang ku sayangi, pertama sekali maaf andai mengganggu tugasmu, mungkin k.Sufi sedang bekerja saat membaca warkah ini... Sebenarnya sudah lama ingin ku coretkan sebuah kisah benar yang berlaku dalam hidup kita. Sebuah kisah yang mendewasakan kita semua, kita adik-beradik.Sebuah kisah yang penuh suka duka. Kisah yang sentiasa dekat dengan kita..

Ketika orang mencoretkan kisah ini, hari masih lagi pagi. Embun di luar sana masih dingin dan segar. Ayam jantan berkokok gagah. Mungkin tanda syukurnya pada Yang Maha Esa kerana masih diberi peluang untuk menapak di bumi ALLAH ini.. AlhamduliLLAH….:).. Orang masih ingat, mak ada cerita tentang ayam yang berkokok ni... K.Sufi tentu ingat juga kan? Kata mak, kokokan ayam tu seolah-olah ayam itu berkata berkata kepada manusia, “hey manusia ! sedarkah kamu hidup di atas dunia ini? Emm…terasa jugak ye kita kan? Malu je kat ayam..huhu..

Emm… entah dimana orang nak mulakan kisah keluarga kita ye… Jika dikenang-kenang kembali.. lucu jugak ye hidup kita dulu..walaupun kita susah tak pernah dirasakan hidup kita susah..kita bahagia. Mungkin dulu kita masih kecil, tak mengerti apa itu kesusahan. Yang kita tahu hanya bahagia, gembira, seronok..itulah kita dulu . kini kita telah pun dewasa. Hasil titik peluh mak ayah membesarkan kita. Ayah kerja berat, membanting tulang empat kerat demi menyara keluarga kita. Kesian ayah kan.. mak juga. Masa muda-muda dulu mak ayah pernah kerja yang berat-berat.. kait buah kelapa sawit yang berat..tu yang orang tahu...yang lain mungkin banyak lagi kan..

Orang masih ingat dulu, tiap kali mak beli sesuatu yang agak istimewa untuk keluarga kita (istimewa sebab jarang boleh dibeli)..mak akan pastikan kita sume dapat sama rata. Bahagi seadil-adilnya..orang ingat kalau mak beli buah rambutan (mungkin sekilo je yang mampu dibeli), mak kata, rambutan ni amik 3 biji sorang..sape yang dah makan sebiji tu, ada 2 biji lagi bahagian dia..kita pun gembira dapat 3 biji rambutan. Bukan kedekut, tapi mak nak kita semua dapat merasa. Kadang-kadang tu orang tak makan lagi..sayang..sorok dulu. Kemudian baru makan…lucu ye..:)..bukan hanya rambutan saja, bahkan semua benda mak akan pastikan kita semua dapat makan, dapat merasa apa yang kita jarang-jarang dapat. Kalau beli ayam, mak akan bahagikan berapa ketul sorang dapat. “ayam tu amik seketul je, nanti simpan untuk makan malam pulak…” Sampai begitu sekali....mak makan ke tak makan, kita tak tahu… yang penting, biar anak-anaknya dapat merasa…

Betapa mak seorang ibu yang sangat bijak mengatur kewangan, perbelanjaan untuk keluarga kita supaya kita semua dapat bersekolah..masa tu k.Sufi sekolah menengah..orang tak ingat orang di tingkatan berapa atau masih di sekolah rendah. Ayah bekerja di tempat yang agak jauh dari rumah dan terpaksa berulang alik dengan bas... masa tu memang kita sentiasa tak cukup belanja.. untuk tambang ayah ulang alik pergi kerja, bahkan tambang untuk ke sekolah menengah pun tak cukup, padahal hanya 50 sen..pun tak ada.. masa tu k.ngah masih belajar di UiTM.. setiap minggu mak kirimkan duit gaji ayah untuk k.ngah..RM 40.00 setiap minggu..ayah dapat duit gaji setiap hari khamis..hari Sabtu dah tinggal RM30.00 untuk belanja seminggu . RM 30.00?untuk makan, belanja sekolah dan untuk semuanya lah…

Pening kepala mak untuk cukupkan duit banyak tu untuk belanja seminggu… .tapi mak tidak pernah merungut.. apa yang mak tahu, macam mana pun anak-anaknya mesti dapat pergi ke sekolah.. setiap pagi mak masakkan lauk untuk ayah bawa bekal kerja.. lauk tu untuk ayah sorang je..takut nanti malu pulak kat orang ayah makan nasi tak berlauk, padahal lauk tu apalah sangat..setakat seekor ikan sardin masak sambal. kita di rumah makan yang ada... duit tambang sekolah lebih penting.. Setiap kali ayah pulang dari tempat kerjanya, orang ingat orang mesti berebut- rebut ngan adik2 nak amik bekal yang ayah bawa kerja..kot-kot ada nasi ngan lauk yang lebih..kalau ada seronok sangat..walaupun lauk tu dah nak basi…


Tapi kini kita semua sudah pun dewasa. K.long sudah lama bekerja, dah ada2 orang anak pun. K.ngah pun dah punya keluarga sendiri dengan 2 orang anak juga. K.teh di selatan, dengan anak 2 orang yang semakin membesar.. K.lang pun sudah berkeluarga dan akan mempunyai anak tak lama lagi..kita akan dapat anak saudara baru lagi nanti… mak ayah bahagia sekarang dikelilingi keluarga kita yang semakin besar..dikelilingi anak cucu…tapi sayang sekali, anak-anak cucu mak sekarang semuanya jauh-jauh..Cuma k.lang sorang je yang dekat sekarang ni…

:(
Siapa yang tak rindukan anak-anak walaupun semuanya sudah berumahtangga.. betul seperti kata Ustaz Pahrol..ibubapa kita masih rindu…. bukan wang semata-mata tapi kasih sayang dari seorang anak. Itulah yang yang mak ayah kita dambakan kini.. kadang-kadang mak sedih..mak kata k.long tak pernah telefon sejak berkahwin..tak pernah telefon.. mak aje
yang telefon..sebab rindu..k.ngah pun sama jugak…tak pernah nak telefon.. hanya mak je yang rindukan anak-anak..tapi anak-anak tak ingat pun..dengan sebak, mak kata “Berapa sen je kalau nak telefon, tanya khabar mak, ayah.. setakat 50sen pun tak habis..mungkin k.long, k.ngah ingat mak ni dah mati barangkali..kalau mak telefon kat dia baru dia ingat..oh..mak ada lagi…lepas tu lupa pulak, sehinggalah mak yang telefon..”. Mak sedih sangat..semalam k.Sufi telefon, mak gembira..itulah ibu..sentiasa menantikan mendambakan kasih sayang dari anak-anak... dalam hati orang terfikir, adakah orang jarang menelefon, bertanyakan khabar mak, ayah disaat berjauhan..? orang harap orang akan selalu bertanyakan khabar mak ayah lepas ni bila berjauhan nanti.. kenapa jadi begini ye k.Sufi...orang harap lepas ni tak akan jadi macam ni..


Mungkin k.Sufi boleh mengubah kesedihan mak ayah..supaya mak ayah sentiasa tidak sunyi dari anak-anak walaupun berjauhan...mak ayah akan sentiasa bahagia menerima khabar dari anak-anaknya jauh..k.long, k.ngah, k.teh...:)


Sekian saja dulu untuk kali ini....moga kita semua menjadi sebuah keluarga yang sentiasa diberkati ALLAH.. Ameen...


:)Ya ALLAH! Tertunduk Sufi, usai membaca warkah adiknya… mengalir air matanya…hiba mengenangkan ibunya, ayahnya… anak-anak memang suka terlupa… Yea itulah ibu kita, ayah kita… sentiasa merindui anak-anaknya… rindu yang telah pernah pudar… Sebenarnya semakin tua, insan jadi semakin sunyi, hati jadi makin rindu, mahu dekat dengan orang-orang tersayang… Dik, mari kita sama-sama usahakan kebahagiaan ibu ayah kita selama hayat kita dan mereka masih ada… Spontan di saat itu, hatinya merintih… pulanglah kakak… pulanglah kita, wahai anak-anak… pulanglah kepada ibu ayah kita…pulanglah… tidak rindukah kita untuk mendengar cerita-cerita mereka? Biarpun cerita-cerita itu sedah terlalu kerap diulang… tidak mengapa. Cerita lama yang diulang-ulang… Biarlah… Mereka tiada cerita baru… Hanya cerita lama. Seluruh tenaga, semangat mereka telah dikerah untuk kita… Tidak mengapa cerita yang sama, kerana bukan hanya cerita yang ingin disampaikan , tapi di sana ada CINTA yang ingin diluahkan buat kita anak-anaknya…

WaLLAHu’alam


Ya ALLAH ya TUHANku, ampunkan dosa-dosa kami... KAU jadikanlah, penulis, dan sahabatku Sufi serta diriku yang membaca ini sebagai penyejuk mata ibu dan ayah… Ameen…

No comments: