Friday, June 15, 2012

ISLAM ITU INDAH...

Anugerah dunia
sekelumit cuma
sanjungan dunia sebenarnya
merelai diri ditelanjangi

Sampai kapan ingin berlari
di padang gersang
yang tidak punya apa-apa
sedang hidup ada nokhtahnya
yang masih rahsia
buat kita tercari-cari

Di sana
terbentang luas
menanti jejak diri
seorang muslimah
yang tunduk
syukur
sujud
hanya padaNYA

Duhai
betapa diri pernah terpesona
pada percikan dunia
yang fana

Bersyukur pada MU
ALLAH yang agung
petunjuk rahmat
buat insan kerdil seperti ku
berkat doa bonda sehebat
halilintar membelah bumi
setajam mata pedang
menghunus kalbu
dengan kehendak MU 
Aku sebegini...

Lalu...
tersadar daku dari mimpi ngeri
yang tidak ingin ku hayati lagi
kisahnya

Muslimah
ayuh kita bersama
lengkapi diri berhijab
kerna tuntutan ILAHI telah lama menggamit
sedang kita masih alpa
meminggir tuntutan itu

Biar cantik bersulam kebenaran
biar indah bertatah keinsafan
kerna pasti
Islam Itu Indah 

(Oki Setiana Dewi)

Wednesday, June 13, 2012

MODAL YANG SEMAKIN BERKURANG - 26 TAHUN YANG BERLALU….


Dah 26 tahun rupanya saya di bumi ini dengan biayaan penuh dari ALLAH. ALLAH telah memberi saya modal nyawa sebanyak 26 tahun, berapakah baki modal yang saya ada…? Berapa kuantiti yang tinggal, saya tidak tahu, yang saya tahu, modal saya makin berkurang… Dengan modal yang telah diterima, bila dikira-kira balik, saya terfikir, dalam perdagangan kita dengan ALLAH, dengan pulangan yang kita dapat yang di pindahkan terus ke akaun akhirat, agak-agak cukup tak simpanan kita untuk kita survive di kehidupan di akhirat? Tapi di sini, saya bukanlah bermaksud mengatakan bahawa kita ke syurga dengan dengan amalan kita semata, tidak.. sudah tentu tidak, tapi semuanya adalah kerana rahmat ALLAH… Namun kita harus ingat, di sana ada doa, usaha dan tawakkal yang perlu kita lakukan untuk menjemput rahmat ALLAH kepada kita…

Saya teringat kata-kata naqibah saya, Ustazah Nur Hafizah Musa, atau lebih mesra dipanggil Kak Chik, beberapa minggu lepas, yang menyentuh tentang modal nyawa dalam kehidupan. Dalam hidup, setiap orang diberi modal nyawa untuk diuruskan. Setiap dari kita tidak tahu berapa jumlah modal yang diterima. Dan beruntunglah orang yang benar-benar serius dalam perdagangannya dengan ALLAH, walaupun dengan hanya modal yang ‘sedikit’. Kata beliau lagi, kita hidup di dunia ini diibaratkan seperti di alam transit. Ibarat kata, kita dalam perjalanan menunaikan haji ke Mekah Mukarramah, dan dalam perjalanan itu, flight kita berhenti sekejap, di mana-mana stesen transit, dan ketika itu, bila mahu turun, apa yang kita bawa? Mungkin kita hanya ambil, handbag, dan sedikit keperluan penting yang kita perlukan ketika itu, beg pakaian yang besar-besar, kita tinggalkan, kerana kita nak singgah sekejap sahaja. Dan setelah beberapa ketika menunggu, bayangkan apa perasaan kita apabila mendengar pengumuman yang meminta kita bersedia untuk meneruskan perjalanan ke destinasi kita, sudah tentu ketika itu kita dapat melihat wajah teman-teman kita berseri gembira dan dalam hati kita, tidak dapat dibayangkan betapa seronoknya kerana kita akan meneruskan perjalanan untuk ke destinasi sebenar. 

Begitulah juga kita di dunia. Tetapi cuba kita bayangkan bagaimanakah keseronokan kita untuk berpindah dari alam transit (dunia) untuk ke alam tujuan (akhirat) sekiranya kita tidak amanah dengan modal nyawa yang telah diberikan oleh ALLAH kepada kita. Jika kita ingat, dan jika kita perasan , ALLAH telah mengingatkan kita tentang masa atau dengan kata lain, umur. Di dalam al Qur’an banyak ayat yang menunjukkan ALLAH bersumpah dengan masa, antaranya, wal Fajr (dan demi waktu fajar), wal-‘Asr (dan demi waktu Asar), wad-Dhuha (dan demi waktu Dhuha), wallail (demi waktu malam). Di situ ALLAH sebenarnya mengingatkan kita tentang pentingnya masa.  Betapa nikmat umur yang ALLAH beri terlalu besar. Masa dan umur merupakan salah satu aspek yang akan dianalisa di hari kiamat, seperti mana sabda  Nabi Muhammad SollaLLAH ‘alihi wasallam di dalam hadis baginda yang bermaksud;

“Tidak akan melangkah kaki anak Adam di hari kiamat sehingga ditanya 5 hal disisi ALLAH: tentang umurnya untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa digunakan, tentang hartanya dari mana  mencarinya, dan ke mana menginfakkannya, dan apa yang diamalkan dari ilmunya.” (HR. At-Tirmidzi)

Dan cuba kita renungkan, berapa banyak modal yang telah kita bazirkan dalam perdagangan ini? Cubalah kita audit diri kita, adakah kita compliance dengan standard yang ALLAH tentukan untuk kita? Berapa banyakkah waste atau dosa yang telah kita hasilkan sepanjang perdagangan kita dengan ALLAH? Semua itu hendaklah diambil kira dalam soal kita berjual beli, begitulah juga kita dengan ALLAH. Teringat kata-kata pensyarah saya semasa perbincangan di dalam kelas Hazardous Waste Control yang lepas, “It is impossible for us to produce zero waste, but it is possible for us to minimize our waste”. Begitulah dengan dosa, adalah mustahil bagi kita untuk terselamat dari melakukan dosa kerana kita bukanlah ma’sum, tetapi, kita boleh berusaha untuk menghindarkan diri dari melakukan dosa. Namun, di sana mesti kita ingat dan yakin, ALLAH sentiasa bagi nikmat keampunan untuk hamba-hambaNYA yang bertaubat, tanda DIA maha Pemurah.

Kalau kita nak tahu sama ada kita benar-benar serius dalam perdagangan kita sebagai hamba, lihatlah kehidupan kita. Seriuskah kita dalam kehidupan? Atau kita sekadar hidup main-main sahaja?  Kalau benar kita mahu serius dalam kehidupan, cubalah restructure hidup kita. Susnlah balik cara hidup kita dan hiduplah dengan bersungguh-sungguh. Cuba kita analisa,  dalam kehidupan kita hari-hari, benda apa yang kita tengok, benda apa yang kita dengar, dan benda apa yang kita baca. Semua itu menggambarkan bagaimana tahap komitmen kita sebagai hamba ALLAH bahkan mempengaruhi cara hidup kita keseluruhannya.

Orang yang benar-benar serius dalam kehidupan tidak akan melakukan apa-apa pun pada waktu pagi, kecuali setelah membaca beberapa potong ayat Al-Qur’an. Cubalah jadikan al-Qur’an sebagai keperluan. Ada di antara kita hanya menjadikan ayat Al-Qur’an sebagai perhiasan, digantung di dalam rumah, dijadikan sebagai alat mengusir makhluk jahat. Tidak mengapa mempamerkan ayat-ayat Al-Qur’an di dalam rumah kita, sekurang-kurangnya menunjukkan kita adalah Muslim.

Namun alangkah baik, jika kita menjadikan Al-Qur’an sebagai keperluan dalam kehidupan kita. Amalkanlah membaca Al-Qur’an, walaupun hanya 1 minit. Cubalah baca, walau hanya sepotong ayat, dan renungkan ayat yang kita baca, kemudian, cuba amalkan mengikut kemampuan kita. InsyaALLAH mudah-mudahan kita dapat berubah menjadi lebih baik dan dapat mengubah sistem hidup ke arah yang lebih sempurna.

Jom! Mari kita amalkan bersama-sama. Saya dahulukan dengan ucapan TAHNIAH! Kepada diri kita semua atas usaha yang sedang dan akan terus kita lakukan, InsyaALLAH. Ingat! Pertolongan ALLAH sentiasa mengiringi usaha kita. Fainna ma’al ‘usri yusro.

… Semua ke syurga…
Kecuali dia
Kubimbangi dialah diriku…
Na’uzubiLLAH…
Ya ALLAH! ampunan dan rahmatMU amat kudamba…
"ALLAHumma haasibna hisaaban yasiiro”
Ameen…


Tuesday, April 3, 2012

Musafir Perjuangan

Perantau musafir perjuangan
Tabahkanlah hatimu
Berjuang di rantau orang
Sedih pilu hanya engkau yang tahu

Janganlah menghiris hatimu
Kerinduan desa nan permai
Janganlah melemahkan semangat juangmu

Di waktu ujian badai terus melanda
Engkau tetap gigih berjuang
Membenarkan sabda junjungan
Terus memburu menuntut janji
Pastilah Islam gemilang lagi

Tapi pejuang kembara perjuangan
Ujian bukan batu penghalang
Kerana itulah syarat dalam berjuang

Oh pejuang
Di manapun ada ketenangan
Di manapun ada kebahagiaan
Bila insan kenal pada Tuhan
Kasih sayang dan pembelaan-Nya
bagi insan yang menyerahkan
Jiwa dan raga, anak dan isteri
Kepada ALLAH

Lirik asal - Perantau (The Zikr)

Tuesday, October 18, 2011

Biarkan Ia Pergi....


Biarkan wanita itu pergi…

walaupun kakinya bagai terpasung luka
walau hatinya tercalar bisa
izinkanlah dia melangkah jua

tangismu tidak dia lupakan
bukan dia tega
bukan dia rela
tetapi dia terpaksa
izinkan dia pergi jua

dihatinya ada wahyu yang merayu
disitu tidak pernah ada tunggu
walau terjerat,walau terikat
dia mesti pergi jua

ah,genderang itu telah berbunyi
dia terpaksa pergi
jangan kau tunggu lagi
mari pergi bersamanya
walau terseksa...wanita kan pergi jua!

Adaptasi dari Puisi “IZINKAN LELAKI ITU PERGI”

NOTA HATI SEORANG LELAKI
-Pahrol Mohd Juoi-
Telaga Biru sdn bhd

Saturday, September 3, 2011

AkhirNya kau pergi jua...


Assalamu'alaikum wa rahmatuLLAHi wabarakatuh,
Salam 'eid mubarak diucapkan kepada semua pembaca lebahfaqir yang dirahmati ALLAH swt,

Saya memohon maaf di atas semua salah silap saya. Semoga ALLAH mengampuni saya dan kailan dan semoga ALLAH redha kita semua.

TaqabbaLLAHu minna wa minkum, ya KAREEM...
(Semoga ALLAH menerima ibadahku dan ibadah kalian)
Ameen!



Akhirnya Ramadan pergi jua

Tapi yang pergi hanya giliran purnama

Bukan kesan rasa dan kebesaran makna

Semua itu masih di sini… di jiwa

Yang sentiasa merindui

barakah dan maghfirahNYA

(Apakah roh Ramadan ini akan terus menerangi bulan-bulan seterusnya?)


Kini Syawal bertamu lagi

Bersama wajah seindah fitrah

Tasbih, tahmid dan takbir diucapkan

Meraikan satu kemenangan

Dari satu peperangan…

di dalam diri, di dalam sukma

(Apakah kita berjaya? atau sekadar menumpang gembira… di pinggiran kasih-sayangNYA?)

Ramadan akan pergi

Syawal pasti menyusulnya

Dan kita bagaimana?

Masih di pelabuhan alpa?

Masih di belenggu dosa?

Dan bahtera kita terus kelelahan

Dihempas ombak keresahan

(Akan tiba saatnya ketika Ramadan dan Syawal datang jua tapi kita telah tiada…untuk menyambutnya!)

[Ustaz Pahrol Joui]


Thursday, August 25, 2011

:: Muhasabah untuk diri dan sahabat ::


Assalamualaikum, salam ukhuwwah. Imam Hassan Al Banna adalah tokoh yang perlu dijadikan idola bagi setiap pejuang islam masa kini. Berikut nasihat-nasihat Imam Hassan Al Banna supaya diri ini tidak tergelincir dari landasan perjuangan. Bersamalah kita hayatinya sejauh mana kita selaku orang yang mengaku untuk memperjuangkan Islam, mengamalkan nasihat-nasihat ini...



1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekali pun.


2. Bacalah al-Qur'an, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara-perkara yang baik, amalkanlah zikruLLAH, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.


3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul (Fusha) kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.


4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.


5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan ALLAH itu sentiasa tenang lagi tenteram.


6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.


7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.


8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan mengecam sesebuah; dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.


9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Ikhwan Muslimin yang ditemui walaupun dia tidak meminta saudara berkenalan dengannya… asas gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.


10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri, ringkaskanlah pelaksanaannya.



Janganlah mengharapkan kenikmatan ibadah pada tahap awal perjuangan, sebab hal itu tidak mungkin dapat dicapai sebelum seseorang benar-benar bermujahadah. Begitulah sunatuLLAH :

"Sebagai sunnah ALLAH yang (berlaku juga) bagi orang-orang yang telah terdahulu sebelum (mu) dan engkau tidak akan mendapati perubahan pada sunnah ALLAH."

[ Al-Ahzab:62]



WaLLAHu'alam...

Semoga ALLAH menguatkan iman dan meringankan jasad untuk mengamalkannya. Ameen!

Semoga ALLAH redha.

Friday, August 5, 2011

Salam Ramadhan Al Mubarak


Assalamu'alaikum warohmatuLLAHi wabarakatuh...

Di kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menyambut, dan menyempurnakan ibadat puasa kepada semua pembaca lebah faqir. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik bagi kita di sisiNYA, insyaALLAH...

Pesan pada diri saya dan semua, banyak-banyakkanlah membaca doa... salah satu doa yang boleh diamalkan;

ALLAHumma innaKA 'afuwwun kareem, tuhibbu 'afwa, fa'fu'anna...




Salam ramadhan kareen buat, semua... ALLAHu akram! :)
Semoga ALLAH redha kita semua... ameen.