Wednesday, June 13, 2012
MODAL YANG SEMAKIN BERKURANG - 26 TAHUN YANG BERLALU….
Dah 26 tahun
rupanya saya di bumi ini dengan biayaan penuh dari ALLAH. ALLAH telah memberi
saya modal nyawa sebanyak 26 tahun, berapakah baki modal yang saya ada…? Berapa
kuantiti yang tinggal, saya tidak tahu, yang saya tahu, modal saya makin
berkurang… Dengan modal yang telah diterima, bila dikira-kira balik, saya
terfikir, dalam perdagangan kita dengan ALLAH, dengan pulangan yang kita dapat
yang di pindahkan terus ke akaun akhirat, agak-agak cukup tak simpanan kita
untuk kita survive di kehidupan di
akhirat? Tapi di sini, saya bukanlah bermaksud mengatakan bahawa kita ke syurga
dengan dengan amalan kita semata, tidak.. sudah tentu tidak, tapi semuanya adalah
kerana rahmat ALLAH… Namun kita harus ingat, di sana ada doa, usaha dan tawakkal
yang perlu kita lakukan untuk menjemput rahmat ALLAH kepada kita…
Saya
teringat kata-kata naqibah saya, Ustazah Nur Hafizah Musa, atau lebih mesra
dipanggil Kak Chik, beberapa minggu lepas, yang menyentuh tentang modal nyawa dalam
kehidupan. Dalam hidup, setiap orang diberi modal nyawa untuk diuruskan. Setiap
dari kita tidak tahu berapa jumlah modal yang diterima. Dan beruntunglah orang
yang benar-benar serius dalam perdagangannya dengan ALLAH, walaupun dengan
hanya modal yang ‘sedikit’. Kata beliau lagi, kita hidup di dunia ini diibaratkan
seperti di alam transit. Ibarat kata, kita dalam perjalanan menunaikan haji ke
Mekah Mukarramah, dan dalam perjalanan itu, flight
kita berhenti sekejap, di mana-mana stesen transit, dan ketika itu, bila mahu
turun, apa yang kita bawa? Mungkin kita hanya ambil, handbag, dan sedikit
keperluan penting yang kita perlukan ketika itu, beg pakaian yang besar-besar,
kita tinggalkan, kerana kita nak singgah sekejap sahaja. Dan setelah beberapa
ketika menunggu, bayangkan apa perasaan kita apabila mendengar pengumuman yang
meminta kita bersedia untuk meneruskan perjalanan ke destinasi kita, sudah
tentu ketika itu kita dapat melihat wajah teman-teman kita berseri gembira dan
dalam hati kita, tidak dapat dibayangkan betapa seronoknya kerana kita akan
meneruskan perjalanan untuk ke destinasi sebenar.
Begitulah juga kita di dunia.
Tetapi cuba kita bayangkan bagaimanakah keseronokan kita untuk berpindah dari
alam transit (dunia) untuk ke alam tujuan (akhirat) sekiranya kita tidak amanah
dengan modal nyawa yang telah diberikan oleh ALLAH kepada kita. Jika kita ingat,
dan jika kita perasan , ALLAH telah mengingatkan kita tentang masa atau dengan
kata lain, umur. Di dalam al Qur’an banyak ayat yang menunjukkan ALLAH
bersumpah dengan masa, antaranya, wal Fajr (dan demi waktu fajar), wal-‘Asr
(dan demi waktu Asar), wad-Dhuha (dan demi waktu Dhuha), wallail (demi waktu
malam). Di situ ALLAH sebenarnya mengingatkan kita tentang pentingnya
masa. Betapa nikmat umur yang ALLAH beri
terlalu besar. Masa dan umur merupakan salah satu aspek yang akan dianalisa di hari kiamat, seperti mana sabda Nabi Muhammad SollaLLAH ‘alihi wasallam di dalam hadis baginda yang bermaksud;
“Tidak akan melangkah kaki
anak Adam di hari kiamat sehingga ditanya 5 hal disisi ALLAH: tentang umurnya
untuk apa dihabiskan, tentang masa mudanya untuk apa digunakan, tentang
hartanya dari mana mencarinya, dan ke mana menginfakkannya, dan apa yang
diamalkan dari ilmunya.” (HR. At-Tirmidzi)
Dan cuba kita
renungkan, berapa banyak modal yang telah kita bazirkan dalam perdagangan ini?
Cubalah kita audit diri kita, adakah kita compliance
dengan standard yang ALLAH tentukan
untuk kita? Berapa banyakkah waste atau
dosa yang telah kita hasilkan sepanjang perdagangan kita dengan ALLAH? Semua
itu hendaklah diambil kira dalam soal kita berjual beli, begitulah juga kita
dengan ALLAH. Teringat kata-kata
pensyarah saya semasa perbincangan di dalam kelas Hazardous Waste Control yang lepas, “It is impossible for us to produce zero waste, but it is possible
for us to minimize our waste”. Begitulah dengan dosa, adalah mustahil bagi
kita untuk terselamat dari melakukan dosa kerana kita bukanlah ma’sum, tetapi,
kita boleh berusaha untuk menghindarkan diri dari melakukan dosa. Namun, di
sana mesti kita ingat dan yakin, ALLAH sentiasa bagi nikmat keampunan untuk hamba-hambaNYA yang bertaubat, tanda DIA
maha Pemurah.
Kalau kita
nak tahu sama ada kita benar-benar serius dalam perdagangan kita sebagai hamba,
lihatlah kehidupan kita. Seriuskah kita dalam kehidupan? Atau kita sekadar
hidup main-main sahaja? Kalau benar kita
mahu serius dalam kehidupan, cubalah restructure
hidup kita. Susnlah balik cara hidup kita dan hiduplah dengan bersungguh-sungguh. Cuba kita analisa, dalam kehidupan kita hari-hari, benda apa
yang kita tengok, benda apa yang kita dengar, dan benda apa yang kita baca. Semua itu menggambarkan bagaimana tahap komitmen kita sebagai hamba ALLAH bahkan mempengaruhi cara hidup kita keseluruhannya.
Orang yang
benar-benar serius dalam kehidupan tidak akan melakukan apa-apa pun pada waktu
pagi, kecuali setelah membaca beberapa potong ayat Al-Qur’an. Cubalah jadikan
al-Qur’an sebagai keperluan. Ada di antara kita hanya menjadikan ayat Al-Qur’an
sebagai perhiasan, digantung di dalam rumah, dijadikan sebagai alat mengusir
makhluk jahat. Tidak mengapa mempamerkan ayat-ayat Al-Qur’an di dalam rumah
kita, sekurang-kurangnya menunjukkan kita adalah Muslim.
Namun
alangkah baik, jika kita menjadikan Al-Qur’an sebagai keperluan dalam kehidupan
kita. Amalkanlah membaca Al-Qur’an, walaupun hanya 1 minit. Cubalah baca, walau
hanya sepotong ayat, dan renungkan ayat yang kita baca, kemudian, cuba amalkan
mengikut kemampuan kita. InsyaALLAH mudah-mudahan kita dapat berubah menjadi
lebih baik dan dapat mengubah sistem hidup ke arah yang lebih sempurna.
Jom! Mari
kita amalkan bersama-sama. Saya dahulukan dengan ucapan TAHNIAH! Kepada diri
kita semua atas usaha yang sedang dan akan terus kita lakukan, InsyaALLAH.
Ingat! Pertolongan ALLAH sentiasa mengiringi usaha kita. Fainna ma’al ‘usri yusro.
…
Semua ke syurga…
Kecuali
dia
Kubimbangi
dialah diriku…
Na’uzubiLLAH…
Ya
ALLAH! ampunan dan rahmatMU amat kudamba…
"ALLAHumma haasibna hisaaban
yasiiro”
Ameen…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment