Friday, January 15, 2010

Eksplorasi Hati

AlhamduliLLAH, di pagi Jumaat yang damai ini, ALLAH munculkan ilham dan ringankan tanganku untuk menulis… kadang-kadang ilham itu ada, tapi sekadar berlari ke sana ke mari hanya di minda…

Ekplorasi hati, pagi ini mengingatkanku pada perbualanku dengan seorang teman… “Manusia ni, susah nak berkata tentang perkara yang sebenar pada orang yang betul”. Bila difikir-fikir, mengapa ye, perkara begini boleh terjadi? Mengapa ungkapan manis, sudah tidak semanis seperti mana ketika dia di depan? Mengapa kata kita memberi perbezaan rasa kepada orang yang mendengar semasa dia di depan dengan semasa dia mendengar ungkapan kita secara tidak sengaja?Tidak bolehkah kita menyamakan nada suara bicara kita supaya rasa bagi yang mendengar sentiasa sama?

Dalam berteman, walau seakrab mana pun persahabatan itu, pertelingkahan dan pergeseran rasa memang kadang-kala tidak mampu kita elakkan… Cuma persoalannya, bagaimana cara kita hadapi situasi itu yang menentukan ketulenan sebuah ukhwah… dan andai perselisihan itu ditangani dengan baik, ia mampu mengeratkan lagi ukhwah yang terjalin. Tapi andai sebaliknya, ia mungkin meleraikan ikatan hati-hati yang tersimpul. Dalam bersahabat, kita mesti ikhlaskan hati kita untuk ‘give ‘ and ‘take’. Ada waktu, kita perlu memberi, tika itu berilah dengan kasih-sayang kerana itu lebih dekat ikhlas… dan ada waktu kita perlu menerima, waktu itu, terimalah dengan ikhlas, kerana ia mampu menceriakan hati-hati yang memberi… dan andai, pada waktu kita dalam memerlukan, dan tiada sesiapa yang muncul untuk memberi… jangan tergesa-gesa untuk berkecil hati… seharusnya kita jangan biarkan emosi kita cepat melatah, mempersoalkan tentang haq kita… mengungkit pemberian kita pada sahabat… kerana bisanya menghapuskan nilai pemberian kita di sisi TUHAN… bahkan ia juga akan mencalari hati-hati insan yang menerima…

Padaku, untuk menjadi sahabat karibku, bukan bermakna ia perlu sempurna… Kita bersahabat dengan manusia, dan kita juga manusia, dan bila sudah namanya manusia sudah pasti tidak terlepas dari kesalahan dan dosa, tidak seperti malaikat… Seorang sahabat sudah pasti ada kelebihan dan kelemahan… pada kelebihannya, perkuatkan dia untuk tambah dan kekalkannya… pada kelemahannya cubalah tutup semampunya… agar tiada orang lain bisa menyedari, selain kita… dan bantulah dia untuk memperbaiki dirinya… Dalam bersaudara, selalulah pesan pada hati, jangan jadikan kelemahannya sebagai sebab untuk kita lepaskan nafsu amarah… Bila berselisih faham, jangan sesekali kita mendedahkan keaiban saudara kita kepada orang lain hanya kita tidak berpuas hati padanya… Sebelum bertindak, berfikirlah… nilailah dengan iman dan sabar… jangan terburu-buru untuk ghairah menghukum… wahai diri jernihkan hatimu dalam menghadapi hidup ini… agar kita bisa bahagia…

"lupakan kebaikan kita pada orang lain, dangan ingatlah kebaikan mereka kepada kita, agar kita mampu bersyukur… dan ingatlah kejahatan kita pada orang lain, dan lupakanlah kejahatan mereka kepada kita… agar kita mampu memaafkan… kerana hidup ini terlalu sebentar untuk kita membenci dan bersengketa…"

Terima kasih TUHAN, dalam hidup ini KAU hadiahkan insan-insanMU yang penyayang. Buat saudara-saudaraku dan juga teman-temanku, terima kasih kerana sudi menyeri dan melengkapi diriku dalam menyempurnakan episod-episod dalam cerita hidupku… Moga kita semua bisa berkumpul lagi di sana dalam rahmatNYA… Ameen!;)

Wednesday, January 13, 2010

Bercinta Lagi...

Beberapa hari lepas, aku menghadiri sebuah forum anjuran Student Representative Council (SRC) UIA Kuantan atau di kampus-kampus lain, lebih sinonim dengan nama MPP. Dakwah Rejuvenasi; Perubatan, Penulisan, dan Hiburan, jalan yang berbeza, matlamat yang sama… Menarik sekali tajuknya… salah seorang ahli panelnya.. Ustaz Nazri Johani bekas kumpulan Raihan, yang dulunya juga merupakan penyanyi kumpulan zikr…panel2 lain, Dr Suhazeli (doktor perubatan) wakil PAPISMA dan Zaid Akter penulis novel. Semua panel dijemput dari tiga penjuru yang berbeza… Perspektif dakwah dari sudut perubatan, penulisan dan hiburan diolah oleh panel-panel tersebut menjadikan perbincangan itu sungguh indah…
Bagaimana seorang Suhazeli menjadikan karier doktor sebagai medan dakwahnya untuk mendekatkan hati-hati pesakit kepada yang MEMBERI sakit dan MENYEMBUHkan…yang selalunya pada waktu itulah, hati-hati itu menjadi lembut dan mudah menerima apa sahaja yang mampu memberi ketenangan untuk menjadikan terus positif dalam menjalani hidup… dan saudara Zaid Akter pula memilih dunia penulisan bagi mnyeru hati-hati pembaca supaya dekat dan lebih dekat kepada Tuhan… dan Ustaz Nazri telah memilih nasyid sebagai jalan dakwahnya untuk mendekati hati peminat-peminat lagu beliau…

Itu cerita tentang mereka….cerita mereka dan dakwah mereka…mereka telah punya jalan dan method jelas yang mereka pilih bagi menjalankan tugas-tugas dakwah… dan bagaimana dengan aku? Apa method yang paling sesuai dengan kapasiti yang ada padaku? di sini aku megajak para pembaca tersayang agar sama-sama berfikir… sesungguhnya tugas dakwah itu tugas semua umat Islam… Kalau saudara Zaid Akter memilih penulisan sebagai medium dakwahnya untuk mendekati pembaca-pembaca dan doktor Suhazeli memilih kedoktorannya sebagai jalan untuk mendekati pesakit-pesakitnya… dan Ustaz Nazri mendekati mad’unya dengan lagu-lagunya… dan kita? Fikir-fikirkanlah bagaimana pula jalan yang harus kita pilih untuk kita dekat dengan orang-orang sepatutnya kita dakwahi… siapa “target group” kita dan ape cara yang paling sesuai untuk kita dekati mereka? Harus. Harus persoalan itu jangan pernah kita ketepikan… Ayuh diriku dan pembacaku yang budiman… marilah kita sama merebut peluang yang masih ada… intai-intailah potensi yang ada pada kita yang mungkin kita belum meyedari bahwa ia adalah aset bahkan amanah dari ALLAH untuk kita gunakan bagi mengajak insan-insan kepada ALLAH…

Jom teman-teman! Kita ajak hati kita, diri kita dekat ke arah jalan sebenar yang membawa kita kepada maksud sebenar, mengapa kita di sini…? untuk apa kita di sini? dan ke mana sebenarnya kita harus pergi…? Teringat aku, pada seuntai kata yang diungkapkan oleh ustaz Hasrizal dalam sebuah ceramah beliau.” Cuba renungkan sebatang pen, untuk apa dijadikan? Pastinya tujuan utama ia dicipta adalah untuk menulis kan? Bayangkan kalau pen ini digunakan untuk tujuan lain, seperti membuka tin biskut ke… pastinya pen ini cepat rosak, dan bila ia sudah rosak pen itu akan dibuang ke dalam tong sampah, dan pada waktu itu, ia menjadi sampah dan tidak lagi disebut sebagai pen… “ dan begitu juga kita, kita sepatutnya tahu mengapa kita dicipta, supaya kita tahu apa fungsi sebenar diri kita…

Ayuh teman-teman, jom kita sama-sama ajak diri kita, dan diri orang-orang sekeliling kita kepada DIA, teringat aku pesan ustaz Nazri, berdakwahlah, meski pun kita merasa betapa tidak sempurnanya diri kita… cintai ALLAH meskipun kita rasa betapa dosa kita menggunung tinggi… jangan pernah berputus harap.. mohonlah petunjuk dariNYA agar diri kita kekal di jalanNYA… Duhai diriku dan teman-teman tersayang, jangan pernah berdakwah kerana terpaksa, tapi asaskanlah ia dengan perasaan sayang kerana itu lebih menjadikan kita bahagia dan ikhlas dengan apa yang kita lakukan… Yang lebih utama, pohon kepada ALLAH agar kita bisa terus mencintaiNYA…agar ia boleh menjadi sebab untuk kita mengasihi insan, tanpa syarat…

Dan andai temanku, andai merasa diri terlalu berdosa, janganlah berputus asa, sehingga merasakan dirimu tidak lagi layak untuk mendekatiNYA… jangan begitu duhai teman, TUHAN kita tidak pernah kejam kepada hambaNYA, dekatkanlah kembali hati-hatimu kepadaNYA…kerana DIA tidak pernah jemu menanti kita…

Andai cinta kita kepadaNYA kian pudar, marilah kita bercinta lagi dengan PENCIPTA kita… mari kita bercinta lagi dengan amalan yang menjadikan kita cinta padaNYA, ayuh teman mari kita bercinta lagi dengan dakwah, agar dengannya, ia boleh menghadirkan cinta insan-insan padaNYA… InsyaALLAH ;)

Saturday, October 24, 2009

.: A sharing :.

Assalamu'alaikum kepada semua pembaca budiman...
terima kasih kerana sudi menziarahi blog lebah faqir..
lebah faqir sendiri pun sudah agak lama tidak mengepos apa2 entry ke blog ni...
tapi kali ini lebah faqir nak berkongsi sesuatu dengan pembaca yang sangat disayangi ALLAH swt, insyaALLAH bermanfaat untuk kita semua...;)

sepucuk surat dari bakal zauji..

Bismillahirrahmanir rahim...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam sejahtera buat calon zaujahku yang dihijab pertemuan olehNya sehingga detik kita disatukan dengan lafaz ijab bersaksi qabul berwali. Semoga langkahmu tangkas dengan semangat juang Islam. Walau apapun yang kita lakukan, dasarilah ia dengan memohon keredhaanNya supaya setiap langkah itu beroleh keberkatan.

"Ya Allah, gembirakanlah aku dengan redhaMu"

Kukira untaian doa srikandi iman, Sayyidah Nafisah binti Hasan bin
Zaid bin Hasan bin Ali bin Abu Thalib ini mampu menyuburkan hatimu
dengan Nur KasihNya.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Telah dikhabarkan bahawa engkau adalah calon yang sekufu untukku, bakal menjadi peneman solehah bersamaku merentas becaknya denai-denai perjuangan Islam ini. InsyaAllah. Kesesuaian ini telah kupohon dalam setiap doaku padaNya, dalam setiap sujudku, dalam setiap ibadah hajat dan istikharahku selama ini. Tanpa jemu walaupun pertemuan itu masih dirahsiakan. Besar kurniaanNya kepada kita. Hijab itu membolehkan aku dan kau melengkapkan diri masing-masing dengan bekalan agama agar baitul muslim kita nanti tidak suram dengan Nur keimanan yang malap.

Calon zaujahku yang dirahmati,

"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."

Bukan harta yang kuperlukan, bukan keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang kuidamkan, tetapi kefasihan agamamu itu yang aku dambakan. Itulah hikmah sekufu yang menjadi asas usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak pewaris ketauhidan Islam dalam mengESAkan Allah Yang Satu.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa--bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal." (Al-Hujarat: 13)

Sirah telah membuktikan bahawa seorang Khalifah mulia menjodohkan puteranya dengan seorang gadis penjual susu lantaran iman yang kuat menjadi benteng gadis itu daripada menderhakai Allah. Akhlak indah yang menjadi pakaian gadis suci itu membuatkan hati Khalifah terpaut. Inilah kisah yang ingin aku kongsikan denganmu wahai calon zaujahku. Pada suatu malam Khalifah Umar Ibnu Khattab sedang membuat tinjauan terhadap rakyat-rakyatnya. Sampailah Umar ra. di sebuah rumah penduduk, ketika itu mereka sedang berbincang tentang sesuatu. Umar mendengar semua perbincangan mereka.

Seorang ibu berkata kepada anak perempuannya: "Anakku bangunlah, serta campurkanlah susu itu dengan air. Puterinya menjawab: Apakah ibu belum mendengar larangan daripada Amirul Mukminin itu? Ibu itu bertanya lagi:"Apakah larangan Amirul Mukminin itu?" Puterinya menjelaskan: "Wahai ibu, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang umat Islam menjual susu yang dicampurkan dengan air"Ibu itu berkata lagi: "Cepatlah engkau campurkan susu itu dengan air, tak usahlah kamu takut dengan Saidina Umar, kerana ia tidak melihatnya" Puterinya menjawab: "Wahai ibuku, memang Umar ra. tidak melihat kita, tetapi Tuhan yang disembah Umar melihat kita.

Maafkan saya wahai ibuku, kerana tidak dapat mematuhi permintaanmu. Saya tidak mahu menjadi orang yang munafik mematuhi perintah di hadapan orang ramai, tetapi melanggarnya apabila di belakang mereka."Khalifah Umar ra. yang terkenal tegas itu menjadi terharu hatinya. Umar ra. merasa bangga dengan ketaqwaan gadis miskin penjual susu tersebut. Setelah pagi, Saidina Umar memerintahkan puteranya Ashim supaya pergi ke rumah gadis tersebut.

"Wahai anakku, pergilah engkau ke sebuah rumah penduduk, di dalamnya ada gadis penjual susu, jika ia masih sendiri, pinanglah ia. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kurnia kepadamu anak yang soleh."

Ternyata dugaan Saidina Umar ra. itu benar sekali. Ashim menikah dengan wanita yang mulia tersebut dan mendapat seorang anak perempuan yang bernama Ummu Ashim. Kemudian Ummu Ashim berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang bernama Umar bin Abdul Aziz, yang kemudian menjadi seorang khalifah yang terkenal dan bijaksana.

Jika asas baitul muslim itu kukuh, tidak mustahil ia mampu melahirkan pejuang-pejuang agamaNya yang berpedangkan taqwa dan berperisaikan iman. Di hati mereka bercahaya dengan kasih sayang Ilahi kerana mereka lahir daripada bait penyatuan dua jiwa yang hidup berbumbungkan sunnah berpelitakan al-Quran, berdindingkan wasatiah dan qanaah. Itulah hakikat sebuah baitul muslim.

Calon zaujahku yang telah dijanjikanNya ,

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An- Nissa':34)

Surah yang diberikan kemuliaan buatmu dan insan yang bergelar wanita. Istimewanya dirimu sehinggakan Allah menukilkan pesananNya dalam surah khusus buatmu. Dan itulah janji-janji Allah bahawa seorang wanita yang solehah itulah mutiara syurga buat suaminya walaupun kekayaan duniawi tidak terhampar di kakimu.

Maafkan aku kiranya tiada harta yang mewah, mutiara atau kilauan permata kupersembahkan dalam hidupmu. Tetapi, aku hanya mampu menjanjikan hantaran yang paling berguna untuk kita berdua sepanjang zaman. Itulah panduanNya, Qalamullah. Islam menegaskan agar ku ajar dirimu mengenal Allah, zat yang agung. Itulah kunci kesempurnaan yang hakiki.

Seringkali kau mengeluh, kau hanya insan lemah. Sedarilah bakal isteriku, kelemahanmu itu adalah kekuatan yang dikurniakan Allah buatmu. Dari kelemahan itu, terletaknya rahim yang telah melahirkan seorang Rasul, seorang Nabi, seorang abid dan juga pejuang jihad yang Allah janjikan syurga demi setitis darah mereka.

Ia lahir daripada jerih doamu, penat sabarmu dan lelah tabahmu. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.Hati serapuh kaca,kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera,hiasilah dengan akhlak. Bantulah aku dalam mentakrifkan pernikahan ini. Semoga ia menjadi wasilah sebuah pembangunan insaniyyah yang akan menjadi khemah dakwah dan tarbiyyah.

Bakal isteriku yang dirahmati,

Titipan ini sudah sampai ke penghujungnya. Namun, doaku padamu tidak pernah berakhir. Seperti doaku padaNya, moga saf antara aku dan dirimu akan bersama-sama melalui siratulmustaqim yang lurus menuju jannahNya yang dirindui. InsyaAllah. Andai ada ingatan darimu, pohonkan dariNya moga aku terus tegak dalam memperjuangkan kalimahNya walau dijengah mehnah lantaran zaman ini adalah pengakhiran sebuah destinasi.. Dunia sudah terlalu tua, ia hanya menanti masa.


Salam buat teman solehahku...


Yang Benar,
bakal suamimu.

ihsan dari http://baytulmuslim.blogspot.com

Monday, August 17, 2009

Maafkan aku...kesekian kalinya...

Ya ALLAH... bantulah hambaMU untuk memahami segala maksudMU...
Mengertikanlah aku dengan petunjukMU...
Agar boleh aku mengikutinya...
Dan tetapkanlah hatiku di jalanMU...
Ya TUHAN...
Terima kasih wahai TUHAN...kekasih abadiku...
Yang tak pernah jemu dengan diriku...
Yang tak pernah jemu memberiku petunjukMU...
Yang tak pernah jemu memaafkan aku...
Yang tak pernah jemu mendengar janji-janjiku padaMU...
Yang tak pernah jemu menolongku...

Maafkan aku ya TUHAN...
Andai ada petunjukMU yang gagal aku ikuti...
Maafkan aku ya TUHAN...
Atas kesalahan yang sering kuulangi...
Maafkan aku ya TUHAN...
Andai ada janji-janjiku padaMU yang kusendiri mungkiri...
Maafkan aku ya TUHAN...
Andai ada nikmatMU yang lupa kusyukuri...
YA ALLAH....
Terimalah aku, sebagai hamba yang KAU redhai...

Tuesday, August 11, 2009

Sebuah Perkongsian: Puisi Dakwah


Puisi ini kuperoleh dari seorang sahabat... Sekadar mahu berkongsi dengan teman-teman yang sudi membaca...mudah-mudahan, di sana ada manfaat yang boleh kita ambil, insyaALLAH..bacalah dengan tenang dan hayati setiap bait-bait perkataannya...

Katakanlah:
` inilah jalanku,
aku mengajak kalian kepada ALLAH dengan bashiroh,
aku dan pengikut-pengikutku
Mahasuci ALLAH!
dan aku bukan termasuk orang-orang yang musyrik

Jalan dakwah panjang terbentang jauh ke depan
Duri dan batu terjal selalu menganjal,
lurah dan bukit menghadang
hujungnya bukan di usia,
bukan pula di dunia
Tetapi Cahaya Maha Cahaya,
Syurga dan Redha ALLAH Cinta adalah sumbernya,
hati dan jiwa adalah rumahnya.

Pergilah ke hati-hati manusia ajaklah ke jalan RABBmu
Nikmati perjalanannya,
berdiskusilah dengan bahasa bijaksana
Dan jika seseorang mendapat hidayah karenamu
Itu lebih baik dari dunia dan segala isinya…

Pergilah ke hati-hati manusia,
ajaklah ke jalan RABBmu
Jika engkau cinta maka dakwah adalah faham,
Mengerti tentang Islam,
Risalah anbiya dan warisan ulama
Hendaknya engkau fanatik dan bangga dengannya
Seperti Mughiroh bin Syu'bah di hadapan Rustum Panglima Kisra

Jika engkau cinta maka dakwah adalah ikhlas menghiasi hati,
memotivasi jiwa untuk berkarya Seperti kata Abul Anbiya,

"Sesungguhnya solatku,
Ibadahku,
hidupku,
dan matiku semata bagi Rabb semesta".
" Berikan hatimu untuk Dia,
katakan "ALLAH Ghayatuna"

Jika engkau cinta maka dakwah adalah amal
Membangun kejayaan ummat bila-bila masa,

di mana saja kamu berada
Yang bernilai adalah kerja bukan semata ilmu apalagi lamunan
Sasarannya adalah perbaikan dan perubahan,
al ishlah wa taghyir
Dari diri pribadi,
keluarga, masyarakat hingga
terbangunnya sebuah daulah islamiah

Jika engkau cinta maka dakwah adalah jihad
Sungguh-sungguh di medan perjuangan melawan kebatilan
Tinggikan kalimat ALLAH rendahkan dugaan syaitan durjana
Kerja keras tak kenal lelah adalah rumusnya
Tinggalkan kemalasan, lamban, dan berpangku tangan

Jika engkau cinta maka dakwah adalah taat
Kepada ALLAH & Rasul, Al-Qur'an & Sunahnya Serta orang-orang bertaqwa
Taat adalah wujud syukurmu kepada hidayah ALLAH
Kerananya nikmat akan bertambah melimpah penuh berkah

Jika engkau cinta maka dakwah adalah tsabat
Hati dan jiwa yang tegar walau banyak rintangan
Buah dari sabar meniti jalan,
teguh dalam barisan
Istiqomah dalam perjuangan dengan kaki tak tergoyahkan
Berjalan lempang jauh dari penyimpangan

Jika engkau cinta maka dakwah adalah tajarrud
Ikhlas di setiap langkah menggapai satu tujuan
Padukan seluruh potensimu libatkan dalam jalan ini,
Engkau da'I sebelum apapun adanya engkau
Dakwah tugas utamamu sedang lainnya hanya selingan

Jika engkau cinta maka dakwah adalah tsiqoh
Kepercayaan yang dilandasi iman suci penuh keyakinan
Kepada ALLAH, Rasul, Islam, Qiyadah dan junudnya
Hilangkan keraguan dan pastikan kejujurannya…
Karena inilah kafilah kebenaran yang penuh berkah

Jika engkau cinta maka dakwah adalah ukhuwah
Lekatnya ikatan hati berjalin dalam nilai-nilai persaudaraan
Bersaudaralah dengan muslimin sedunia,
utamanya mukmin mujahidin
Lapang dada merupakan syarat terendahnya,
itsar bentuk tertingginya
Dan ALLAH yang mengetahui menghimpun hati-hati para da'I dalam cintaNya
Berjumpa karena taat kepadaNya
Melebur satu dalam dakwah ke jalan ALLAH
Saling berjanji untuk menolong syariatNya

sebuah perkongsian dari :

MAHASISWI IPGM Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat

Faham~Ikhlas~Amal~Jihad~Bekorban~Taat~Tajarrud~Thabat~Ukhuwwah~Thiqah

Thursday, August 6, 2009

Antara dia dan aku, tiada batas waktu yang memisahkan…

Di sini aku tidaklah bermaksud untuk berkongsi cerita tentang dia kerana tiada cerita istimewa tentang dia yang boleh aku kongsikan.. yang ada hanyalah DIA, DIA yang begitu penting dalam hidupku..
DIA yang tidak pernah mengabaikan diriku, walau sesaat pun…DIA yang istimewa dalam hidupku…iaitu DIA yang menciptakan aku, maka DIA lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; DIA lah yang memberi aku makan dan minum. Dan apabila aku sakit, maka DIA lah yang menyembuhkan aku kembali, dan DIA lah yang mematikan aku, kemudian menghidupkan aku..dan DIA jugalah yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat…


“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan
matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” [Al An'am:162]



Kesal. Corak pemikiran ramai manusia sekarang yang mendakwa diri mereka muslim, telah berubah. Sedihnya, mereka fikir, agama hanyalah merangkumi upacara tertentu yang dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. ALLAH difikirkan hanya pada waktu solat sahaja, memikirkan kehidupan setelah mati hanya di saat mereka mengangkat tangan berdoa kepadaNYA atau bila berpuasa, bersedekah atau ketika menunaikan haji di Tanah Suci…


Di waktu lain? Mereka tenggelam, sibuk memikirkan tentang urusan dunia… tidak salah memikir atau berurusan dengan perkara keduniaan andai ia sentiasa dihubungkan dengan matlamat selepas mati. Kadangkala kita terlalu sibuk merancang hidup, menetapkan matlamat hidup.. kata orang, matlamat hidup perlu jelas, barulah hidup kita terurus…tapi bagaimana pula dengan matlamat mati kita…? Hmmm, tapi ini bukan bermakna kita harus asingkan antara dua matlamat, matlamat hidup dan matlamat mati…kedua-duanya harus berjalan seiring… Gerunnya, takut-takut kita termasuk dalam golongan itu na’uzubiLLAH. Orang seperti itu hampir memisahkan diri dari Al Qur’an sepenuhnya dan memiliki tujuan sendiri dalam hidup, pemahaman sendiri mengenai akhlak, pandangan sendiri mengenai dunia dan pedoman nilainya. Mereka belum mengerti apa erti ajaran Al Qur’an sebenarnya… dan, seolah-olah tidak wujud hubungan antara mereka dengan DIA…


Kita sepatutnya sedar, bahawa kita adalah sebahagian taqdir yang ALLAH tetapkan terjadi di buminya… yang dengannya sepatutnya membuatkan kita yakin dengan segala peraturan yang ALLAH bagi pada kita melalui al-Qur’an. Semua perkara dalam urusan hidup dirujuk terlebih dahulu kepada Sang Pencipta yang Agung… Semua perkataan, keputusan, dan tindakan mestilah menunjukkan bahwa kita hidup sesuai dengan Sunnah menjadi bukti yang kita hidup berlandaskan ajaran ALLAH.. Bagi muslim sejati, baik di saat sedang berjalan, makan, belajar, bekerja, bermain, bercakap dan sebagainya, dia dalam keadaan sedar bahawa dia dalam keadaan bertanggungjawab melalui hidupnya dengan cara yang paling ALLAH suka… Dan kita? Apa makna kita hidup, andai tidak bersandarkan pada Al-Qur’an… ? Apa makna hidup andai tiada matlamat untuk mendapat redha ALLAH…? Dan tiada maknanya matlamat untuk mendapat redha ALLAH andai tiada usaha ke arah itu…


Ya ALLAH maafkan kami kerana sering melupaiMU…Ya ALLAH, jadikanlah kami hamba-hambaMU yang bertaqwa…ya ALLAH bantulah kami untuk mengabdikan diri buatMU dengan cinta…dan menyintaiMU dengan rindu yang berkekalan untuk mendapat redhaMU…


“Ya TUHAN kami, kurniakanlah kami, kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami dari azab api nerakaMU…” amen!