Friday, January 15, 2010

Eksplorasi Hati

AlhamduliLLAH, di pagi Jumaat yang damai ini, ALLAH munculkan ilham dan ringankan tanganku untuk menulis… kadang-kadang ilham itu ada, tapi sekadar berlari ke sana ke mari hanya di minda…

Ekplorasi hati, pagi ini mengingatkanku pada perbualanku dengan seorang teman… “Manusia ni, susah nak berkata tentang perkara yang sebenar pada orang yang betul”. Bila difikir-fikir, mengapa ye, perkara begini boleh terjadi? Mengapa ungkapan manis, sudah tidak semanis seperti mana ketika dia di depan? Mengapa kata kita memberi perbezaan rasa kepada orang yang mendengar semasa dia di depan dengan semasa dia mendengar ungkapan kita secara tidak sengaja?Tidak bolehkah kita menyamakan nada suara bicara kita supaya rasa bagi yang mendengar sentiasa sama?

Dalam berteman, walau seakrab mana pun persahabatan itu, pertelingkahan dan pergeseran rasa memang kadang-kala tidak mampu kita elakkan… Cuma persoalannya, bagaimana cara kita hadapi situasi itu yang menentukan ketulenan sebuah ukhwah… dan andai perselisihan itu ditangani dengan baik, ia mampu mengeratkan lagi ukhwah yang terjalin. Tapi andai sebaliknya, ia mungkin meleraikan ikatan hati-hati yang tersimpul. Dalam bersahabat, kita mesti ikhlaskan hati kita untuk ‘give ‘ and ‘take’. Ada waktu, kita perlu memberi, tika itu berilah dengan kasih-sayang kerana itu lebih dekat ikhlas… dan ada waktu kita perlu menerima, waktu itu, terimalah dengan ikhlas, kerana ia mampu menceriakan hati-hati yang memberi… dan andai, pada waktu kita dalam memerlukan, dan tiada sesiapa yang muncul untuk memberi… jangan tergesa-gesa untuk berkecil hati… seharusnya kita jangan biarkan emosi kita cepat melatah, mempersoalkan tentang haq kita… mengungkit pemberian kita pada sahabat… kerana bisanya menghapuskan nilai pemberian kita di sisi TUHAN… bahkan ia juga akan mencalari hati-hati insan yang menerima…

Padaku, untuk menjadi sahabat karibku, bukan bermakna ia perlu sempurna… Kita bersahabat dengan manusia, dan kita juga manusia, dan bila sudah namanya manusia sudah pasti tidak terlepas dari kesalahan dan dosa, tidak seperti malaikat… Seorang sahabat sudah pasti ada kelebihan dan kelemahan… pada kelebihannya, perkuatkan dia untuk tambah dan kekalkannya… pada kelemahannya cubalah tutup semampunya… agar tiada orang lain bisa menyedari, selain kita… dan bantulah dia untuk memperbaiki dirinya… Dalam bersaudara, selalulah pesan pada hati, jangan jadikan kelemahannya sebagai sebab untuk kita lepaskan nafsu amarah… Bila berselisih faham, jangan sesekali kita mendedahkan keaiban saudara kita kepada orang lain hanya kita tidak berpuas hati padanya… Sebelum bertindak, berfikirlah… nilailah dengan iman dan sabar… jangan terburu-buru untuk ghairah menghukum… wahai diri jernihkan hatimu dalam menghadapi hidup ini… agar kita bisa bahagia…

"lupakan kebaikan kita pada orang lain, dangan ingatlah kebaikan mereka kepada kita, agar kita mampu bersyukur… dan ingatlah kejahatan kita pada orang lain, dan lupakanlah kejahatan mereka kepada kita… agar kita mampu memaafkan… kerana hidup ini terlalu sebentar untuk kita membenci dan bersengketa…"

Terima kasih TUHAN, dalam hidup ini KAU hadiahkan insan-insanMU yang penyayang. Buat saudara-saudaraku dan juga teman-temanku, terima kasih kerana sudi menyeri dan melengkapi diriku dalam menyempurnakan episod-episod dalam cerita hidupku… Moga kita semua bisa berkumpul lagi di sana dalam rahmatNYA… Ameen!;)

No comments: