Wednesday, February 20, 2013

Tentang IKHLAS

Ikhlas bukanlah perkara pertama yang perlu ada. Ikhlas perlu datang selepas faham. Sekiranya kita tidak memahami, keikhlasan kita tidak ada maknanya.

Tidak faham mencuri itu salah, maka kita mencuri dengan ikhlas, nyata tetap tidak akan kita mendapat apa-apa kebaikan daripadanya.

Namun, setelah kita memahami duduk letak sesuatu perkara itu di dalam Islam, maka kita perlulah mencari keikhlasan kita untuk melaksanakannya. Kerana tanpa keikhlasan, amalan kita tidak akan mampu memberikan makna. Keikhlasan juga adalah apa yang menghubungkan dua jiwa. Kerana akhirnya, Allah jualah yang akan menyambungkan jiwa-jiwa manusia kepada kita. Keikhlasan adalah apa yang akan menjadi jambatan antara hati kita dan mereka.

Ikhlas juga adalah bahan bakar buat kita meneruskan kerja-kerja kebaikan. Kerana kita hanya akan ikhlas apabila kita mengharapkan balasan Allah semata-mata. Bila kita mengharapkan balasan Allah semata-mata, semestinya kita tidak akan mudah berputus asa. Kerana kita yakin, segala duga, segala duka, segala apa yang datang menimpa walau sesusah mana pun ia, adalah datang daripadaNya juga. Itulah ujianNya, untuk melihat keimanan kita.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Ikhlas akan membuatkan kita terus berjalan. Kerana itulah ikhlas.
Marilah sama-sama kita mencari ikhlas, dan berusaha untuk menjaga keikhlasan kita.
Daripada hati, akan sampai ke hati juga.

Sumber:  http://langitilahi.com/11543

No comments: